Kuala Lumpur, 8 Disember 2020 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada hari ini telah menerbitkan satu kertas cadangan dasar bertajuk “Social Protection for the Poor and Vulnerable Malaysians during COVID-19”. Kertas ini ditulis oleh Pengurus Penyelidikan unit Dasar Sosial IDEAS, Wan Ya Shin dan Eksekutif Penyelidikan, Gamaliel Kan.
Kertas ini meneliti bagaimana perlindungan sosial telah bertindak balas terhadap keperluan golongan rentan ketika wabak COVID-19 di Malaysia. Didapati bahawa walaupun program perlindungan sosial COVID-19 mempunyai kadar pengagihan yang tinggi, terdapat bahagian masyarakat yang tidak dilindungi secukupnya. Ini termasuk pekerja tidak berdaftar, pesakit bukan COVID-19, kanak-kanak sekolah, dan wanita. Tambahan pula, langkah-langkah yang dilaksanakan ketika wabak COVID-19 tertumpu kepada melindungi mata pencarian, kesihatan awam, dan melindungi ketidakjaminan makanan manakala kerentanan lain berpunca dari pelbagai isu seperti jurang digital, kesihatan mental, dan ketidaksamarataan jantina tidak ditangani secukupnya.
Wabak COVID-19 telah menyerlahkan jurang yang terdapat dalam sistem perlindungan sosial kita yang sebahagian besarnya berasaskan pekerjaan. Melangkah ke hadapan, Malaysia perlu mengutamakan pembinaan satu sistem perlindungan sosial yang menyeluruh yang mampu menyediakan perlindungan secukupnya kepada semua golongan rentan ketika keadaan normal dan ketika krisis. Golongan rentan ini termasuk pekerja tidak berdaftar, masyarakat yang tinggal di luar bandar, dan golongan tidak bekerja lain, seperti kanak-kanak, orang tua, suri rumah, dan golongan kurang upaya. Memastikan terdapat perlindungan sosial mencukupi merupakan satu komponen penting dari pemulihan ekonomi yang lestari yang akan menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan terhadap kejutan pada masa hadapan. Program perlindungan sosial yang mengurangkan risiko masa hadapan dan membantu tenaga kerja menyesuaikan diri kepada dunia pasca-COVID-19 perlu diberi keutamaan.
Cadangan-cadangan utama berdasarkan dapatan kajian ialah:
Mengulas tentang laporan tersebut, Wan Ya Shin berkata “Pandemik COVID-19 telah membuka mata kita terhadap jurang yang wujud dalam sistem perlindungan sosial, yang dibentuk pada tahun 1950an. Dengan proses urbanisasi dan globalisasi yang berlaku rancak, satu anjakan paradigma dalam peranan perlindungan sosial dalam masyarakat kita amat diperlukan. Tiba masanya untuk kita mengadakan perbincangan mengenai bentuk dan fungsi sistem perlindungan sosial Malaysia dalam masyarakat kita.”
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, “Saya menyeru kerajaan Malaysia untuk pertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam kertas ini. Walaupun sistem perlindungan sosial kita telah memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat Malaysia selama ini, terdapat keperluan untuk memperkemas dan menyatukan program-program yang kini terpecah, untuk akhirnya memastikan golongan yang paling berisiko akan mendapat bantuan yang mereka perlukan terutama ketika COVID-19.”
Salinan Policy IDEAS No.69 boleh dimuat turun pada pautan ini .
— TAMAT —
Untuk sebarang pertanyaan media, hubungi Wan Ya Shin di yashin@ideas.org.my