Kuala Lumpur, 18 Mac 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memberi amaran bahawa keputusan terkini kerajaan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat sebuah lagi pengeluaran sehingga RM10,000 dari simpanan mereka berisiko menyebabkan lebih ramai pencarum KWSP mempunyai baki simpanan yang tidak mencukupi apabila bersara kelak.
Sebagai pengetahuan umum, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang dipenuhi dengan warga emas dalam dua dekad mendatang. Maka IDEAS mengingatkan, dasar sebegini seharusnya menjadi pilihan terakhir dan perlu menggunakan dana sedia ada seperti Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN), Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) serta zakat berbanding KWSP kerana hal ini akan menjadi lebih relevan apabila Malaysia menjadi sebuah negara masyarakat tua dalam masa dua dekad.
IDEAS maklum bahawa sehingga kini, pihak kerajaan telah membenarkan pencarum KWSP melakukan pengeluaran berjumlah sehingga RM71,000 dari dana persaraan mereka melalui tiga program pengeluaran KWSP yang mencecah RM101 bilion. Seperti yang digariskan oleh KWSP, hal ini telah menyebabkan seramai 6.1 juta pencarum kini mempunyai kurang daripada RM10,000 simpanan dalam dana persaraan mereka. Pihak KWSP juga telah memberi penekanan lanjut iaitu sehingga bulan Oktober 2021, seramai 3.6 juta pencarum mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam simpanan mereka. Daripada kumpulan ini, seramai 2 juta pencarum Bumiputera mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.
“Walaupun kerajaan benar dalam memberikan bantuan segera kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah yang sedang bergelut susulan daripada pandemik COVID-19 serta bencana banjir baru-baru ini”, kata Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, “kita harus ingat bahawa KWSP ditubuhkan secara khusus untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada pesara di Malaysia. Oleh itu, pengeluaran dan garis masanya perlu menggambarkan objektif tersebut – hanya untuk tujuan persaraan sahaja. IDEAS percaya bahawa keputusan untuk terus membenarkan pengeluaran KWSP dilakukan secara berterusan adalah tidak berdasarkan kepada perkiraan ekonomi yang tepat tetapi merupakan reaksi refleks kerajaan terhadap satu agenda politik. Tindakan jangka pendek sebegini akan memberi kesan yang memudaratkan untuk jangka masa panjang dan kami menggesa pemimpin politik untuk mempertimbangkan kesan negatif dasar ini yang melibatkan para pesara dan generasi masa hadapan.”
“Perlu dingatkan, untuk membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka, pihak KWSP terpaksa menjual lebih banyak aset luar negaranya pada ketika keadaan pasaran yang tidak menentu disebabkan oleh perang yang sedang berlaku di Ukraine, tekanan inflasi terhadap harga tenaga dan komoditi dunia, serta jangkaan bank-bank pusat akan menaikkan kadar faedah pada tahun ini.”
“Jika KWSP terpaksa melaraskan pegangan ekuiti tempatan, hal ini akan memberi kesan yang buruk kepada Bursa Malaysia, menyebabkan akaun KWSP terkesan lebih teruk.”
“Berdasarkan data oleh World Bank, Malaysia sudah menjadi satu masyarakat menua pada tahun 2020, dengan kira-kira 7% daripada rakyat Malaysia berusia 65 tahun ke atas”, kata Dr. Juita Mohamad, Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan IDEAS. “Berdasarkan kepada unjuran terkini, Malaysia akan menjadi sebuah ‘negara masyarakat tua’ menjelang tahun 2044, iaitu lebih 14% rakyat akan berusia melebihi 65 tahun. Amat penting untuk golongan pesara yang semakin ramai ini mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mencapai persaraan.”
“Keadaan ekonomi yang semakin pulih dan pasaran pekerjaan yang semakin kukuh kerana tiada sekatan pergerakan, IDEAS percaya bahawa pengeluaran KWSP seharusnya digunakan sebagai pilihan terakhir dalam situasi kecemasan sahaja.”
IDEAS maklum bahawa terdapat pelbagai dana sedia ada di peringkat persekutuan dan negeri yang boleh dikumpulkan dan digunakan untuk membantu isi rumah yang terjejas. Dana-dana ini termasuk Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) yang didanai oleh sumbangan pelbagai pihak dan ditubuhkan untuk mengurus sumbangan bantuan bencana tersebut, dan juga Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang ditubuhkan pada tahun 2016 di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 bertujuan untuk memberikan bantuan kepada mangsa bencana, membiayai aktiviti atau kos pengurusan bencana, dan memberikan bantuan kepada kerajaan, jabatan atau agensi negeri. Sebagai tambahan, di peringkat negeri, dana zakat juga perlu diagihkan sebagai satu alat pembasmian kemiskinan dan pengagihan semula kekayaan yang kuat. Alat sebegini boleh digunakan dengan lebih berkesan di peringkat mikro terhadap isi rumah terjejas secara bersasar dalam satu persekitaran pasca pandemik untuk menambah nilai dana persekutuan sedia ada.
“Dalam jangka panjang, pihak kerajaan harus fokus untuk membina lebih banyak jaringan keselamatan social secara rasmi untuk membantu pekerja tetap dan separuh masa,” kata Juita.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my