Kuala Lumpur, 23 Mei 2022: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan rancangan kerajaan untuk menginstitusikan prinsip-prinsip tadbir urus baik melalui perancangan Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance). Namun, hal ini menimbulkan persoalan mengenai status Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada tahun 2019. Adakah pembangunan MyGovernance ini bermaksud NACP telah diketepikan?
“Dokumen sepenting NACP ini perlu dilaksana, dipantau dan diukur dari masa ke semasa untuk keberkesanannya. NACP merupakan dokumen Malaysia yang paling menyeluruh, menggariskan matlamat yang jelas dan terikat pada masa tertentu untuk menghentikan rasuah serta mengembalikan kepercayaan terhadap institusi. Malah, lebih banyak usaha perlu diberikan terhadap pelaksanaan dan juga pengukuran serta penjejakan kejayaan. Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) setakat ini telah menerbitkan satu laporan kemajuan dan satu semakan semula pertengahan penggal NACP – amalan-amalan ini perlu diteruskan sehingga semua inisiatif dicapai,” ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Walaupun begitu, IDEAS mengalu-alukan keutamaan semula yang diberikan terhadap Akta Sumbangan Politik, satu perkara yang diseru oleh IDEAS berkali-kali. Sebagai Sekretariat rasmi untuk Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik yang diluluskan oleh Parlimen, kami amat komited untuk menjalankan kajian dan memberikan sokongan kepada kerajaan dalam perancangan menggubal satu undang-undang yang akan memastikan kewujudan arena politik yang saksama. Kami juga ingin menggesa pendedahan sumbangan serta perbelanjaan, pendanaan awam dan badan kawal selia bebas yang telus dimasukkan dalam akta tersebut.”
“YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan bahawa satu kajian yang mendalam akan dijalankan mengenai pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. IDEAS telah menerbitkan satu kertas kajian mengenai tajuk ini pada tahun 2016 dan amat berbesar hati untuk berkongsi kertas ini ketika pihak kerajaan merangka satu pembaharuan penting terhadap salah satu institusi terpenting di Malaysia.”
“Kami menantikan sesi perundingan bersama organisasi masyarakat sivil, badan pemikir dan pemegang taruh luar untuk memastikan MyGovernance serta beberapa saranan penting seperti mengenai Sumbangan Politik dan juga pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat dilaksanakan,” kata Yeoh.
— TAMAT—
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Loius Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my