Kuala Lumpur, 21 September 2022: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri semalam mengenai komitmen kerajaan untuk menerima pakai beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).
Dalam mesyuarat semalam, pengumuman pembaharuan pertama adalah mengenai pengisytiharan harta untuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan anggota badan kehakiman, diikuti dengan penambahbaikan kepada amalan pengisytiharan harta sedia ada oleh Ahli-ahli Parlimen, senator dan anggota pentadbiran dengan satu kod etika baharu khusus untuk Ahli Parlimen. Pembaharuan ketiga melibatkan status Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik yang sangat dinanti-nantikan, dengan kemas kini bahawa RUU ini akan dikawal selia oleh satu badan bebas yang dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik.
Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa langkah baharu untuk meningkatkan integriti, ketelusan dan tadbir urus baik dalam pentadbiran, khususnya, satu pindaan kepada Akta Audit 1957 untuk memperkasa Jabatan Audit Negara, satu penilaian semula berkenaan peranan dan pendanaan tetap kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) agar dapat menjalankan peranannya yang baharu, dan yang terakhir satu jawatankuasa baharu untuk memantau hal ehwal pihak berkuasa tempatan mengenai permintaan pemindahan, mengurangkan rasuah dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
“IDEAS mengalu-alukan pengumuman langkah-langkah ini, yang menunjukkan agenda tadbir urus ini berterusan menjadi keutamaan oleh kerajaan ini. Enam cadangan ini merupakan kunci kepada membanteras rasuah. Langkah meluaskan pengisytiharan harta untuk memasukkan lebih ramai individu penjawat awam serta syarikat berkaitan kerajaan merupakan satu langkah yang tepat ke arah mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi-institusi negara. Beberapa penambahbaikan boleh terus dilaksanakan oleh kerajaan, sebagai contoh, dengan menjadikan maklumat pengisytiharan harta boleh dicapai oleh orang awam dan meluaskan skop pengisytiharan kepada ahli keluarga terdekat seperti pasangan dan anak-anak supaya memudahkan pengenalpastian potensi konflik kepentingan dengan lebih baik.”
“Kami mengalu-alukan terutamanya cadangan untuk sebuah badan kawal selia pendanaan politik yang bebas. Peruntukan ini selaras dengan Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Pendanaan Politik yang dikemukakan oleh Pengerusi KRPPM mengenai Pendanaan Politik ke Parlimen pada 13 Julai 2022. Kami harap beberapa peruntukan untuk suruhanjaya bebas dalam RUU ini dapat dimasukkan ke dalam draf RUU kerajaan”, ulas Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Namun, YAB Perdana Menteri tidak menyebu sebarang perancangan untuk memasukkan pendanaan awam dalam RUU Pendanaan Politik yang sedang dirangka oleh kerajaan. Kami harap elemen penting yang terdapat dalam RUU versi KRPPM mengenai Pendanaan Politik ini akan dimasukkan ke dalam draf RUU versi kerajaan. Pendanaan awam akan memastikan satu pentas politik yang lebih adil kepada semua parti politik, mengurangkan kebergantungan terhadap sumbangan swasta, serta menggalakkan ketelusan dan lebih banyak penglibatan golongan wanita dalam politik”.
Kami menantikan untuk terlibat dalam proses perundingan sebelum pembentangan RUU pendanaan politik. We ulangi gesaan Pengerusi KRPPM mengenai Pendanaan Politik untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berbilang Parti di mana kajian semula menyeluruh dan inklusif terhadap rang undang-undang yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan boleh dijalankan. Kami berharap untuk melihat perundingan ini bermula dalam tempoh dua minggu akan datang kerana sesi parlimen ketiga akan bermula pada 5 Oktober 2022, dan kami berharap untuk dijemput sebagai sebahagian daripada proses perundingan ini,” kata Dr Yeoh.
— TAMAT—
Kertas cadangan Brief IDEAS No. 1, “How can Malaysia’s Asset Declaration System be improved to help combat corruption?” boleh dimuat turun di sini.
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Halmie Azri Abdul Halim, Eksekutif, Demokrasi dan Tadbir Urus
T: +603 2070 8881/8882 | E: halmie@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my