Kuala Lumpur, 11 Disember 2020 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memuji usaha Ahli-ahli Parlimen pembangkang, terutamanya Ahli Parlimen Tuaran, Petaling Jaya, Kuantan, Lembah Pantai, dan Jerlun dalam percubaan mereka untuk memotong sepenuhnya peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada JASA (dinamakan semula menjadi J-KOM). Malangnya, usul kerajaan untuk mengurangkan peruntukan ini kepada RM40.5 juta telah memenangi undian.
“Kami kesal dengan keputusan kerajaan untuk mengekalkan dan membesarkan J-KOM, serta memperuntukkan sejumlah besar wang belanjawan untuknya. Pihak kerajaan mempunyai pelbagai agensi yang melaksanakan peranan J-KOM seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JPEN), Radio Televisyen Malaysia (RTM), bahagian komunikasi korporat dalam setiap kementerian, dan juga unit Komunikasi Bersepadu Kerajaan Malaysia (MyGovUC) kepunyaan MAMPU,” ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS. Ringkasnya, unit-unit komunikasi yang sedia ada lebih daripada mencukupi untuk menyampaikan maklumat mengenai pelbagai program dan dasar kerajaan.
“Kerajaan seperti telah melupakan keutamaannya sendiri. Dalam ucapan belanjawannya, Menteri Kewangan telah mengatakan bahawa tumpuan utama Belanjawan 2021 ialah kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara”, Yeoh berkata. “Mengembalikan semula sebuah agensi dengan rekod prestasi yang boleh dipersoalkan ialah tidak konsisten dengan tumpuan ini.”
Setelah usul diluluskan semalam, J-KOM secara rasminya menerima peruntukan sebanyak RM40.5 juta, satu jumlah yang cukup besar. “Ini merupakan satu peruntukan yang agak besar. Pada tahun 2017, JASA hanya diberi peruntukan sebanyak RM22.8 juta. Walaupun peruntukan ini telah dipotong dalam belanjawan terkini, secara teknikalnya unit ini menerima peruntukan yang lebih besar daripada sebelum ini”, tambah Yeoh lagi.
“Akhirnya, saya menggesa Kementerian Kewangan untuk menyediakan satu audit yang telus dan tersedia untuk umum terhadap semua dana yang dibelanjakan oleh J-KOM. Saya berharap Parlimen dapat terus meneliti aktiviti dan perbelanjaan J-KOM sepanjang tahun, seterusnya dapat memastikan peruntukan yang diberi tidak disalah guna untuk tujuan politik”, kata Yeoh mengakhiri ulasannya.
— TAMAT —
Untuk pertanyaan media, sila hubungi Sri Murniati, unie@ideas.org.my