Kuala Lumpur, 9 April 2022: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merasa bimbang akan penangguhan pembentangan RUU Anti Lompat Parti. Memandangkan RUU ini merupakan salah satu daripada komponen utama Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, usaha yang lebih serius dan mendesak seharusnya dilakukan untuk memperoleh sokongan dwipartisan dan sokongan kepada pembentangan RUU ini ketika persidangan Parlimen yang lalu untuk memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan.
Disebabkan penangguhan pembentangan telah disahkan, IDEAS berharap pihak kerajaan akan menggunakan peluang ini untuk melibatkan badan-badan pemikir dan organisasi masyarakat sivil dalam sesi perundingannya. Kerajaan perlu mengambil masa untuk mempertimbangkan dengan teliti segala kerisauan sedia ada yang telah diungkapkan dengan meluas. Kami menyeru kerajaan untuk segera membuat pertimbangan dengan teliti dan bermakna terhadap draf RUU ini, sebelum membentangkan satu RUU bermasalah yang akan memberi kesan tidak produktif terhadap demokrasi.
Kerisauan kami masih lagi terhadap definisi “lompat”, yang turut dikongsi oleh beberapa orang Ahli Parlimen. Permasalahan lompat parti merupakan hal yang penting kepada negara maka proses pertimbangan ini perlu merangkumi sebanyak mungkin pihak yang terlibat.
Disebabkan sidang Parlimen pada hari Isnin akan datang dikhususkan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, IDEAS khuatir pengecualian tindakan melompat parti daripada kebebasan berpersatuan akan membuka ruang kepada lebih banyak pengecualian pada masa hadapan, lalu membahayakan kebebasan asasi rakyat Malaysia untuk membentuk, menyertai dan membubarkan persatuan. Kami berharap para Ahli Parlimen mempertimbangkan perkara ini ketika mengundi pada Isnin nanti.
Akhir sekali, kami bersetuju dengan saranan Prof. Wong Chin Huat bahawa “RUU ini seharusnya dijalankan secara pengundian mengikut budi bicara, bukan sahaja pada Pembacaan Kedua dan Ketiga tetapi juga untuk setiap klausa pada peringkat jawatankuasa.” Berkenaan permasalahan yang penting dan berpotensi memecahbelahkan masyarakat seperti lompat parti ini, Ahli-ahli Parlimen perlu diberikan kebebasan untuk menyatakan kebimbangan mereka dan melibatkan diri dalam perbahasan yang bermakna di Parlimen, iaitu suatu pentas yang pendapat mereka akan dirakamkan dan dihebahkan kepada umum. Hal ini penting untuk memastikan kepercayaan terhadap institusi demokrasi negara.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 | E: zokhri@ideas.org.my