KUALA LUMPUR, 6 April 2020 – Kerajaan perlu mencari penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan situasi selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penganalisis Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah, berkata negara seperti Singapura telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kemahiran PKS termasuk menggalakkan mereka lebih beralih ke arah digital.
Perkara ini, katanya, amat mustahak kerana negara tidak boleh melihat COVID-19 ini sebagai satu perkara yang akan pergi selama-lamanya selepas tempoh PKP tamat.
“Saya berpandangan impak virus ini kepada ekonomi akan kekal sekurang kurangnya sehingga pertengahan tahun ini. Ini bermakna, kerajaan dan PKS itu sendiri haruslah meningkatkan daya saing dengan mencari penyelesaian jangka panjang bagaimana boleh meningkatkan kemahiran dan kapasiti untuk menyesuaikan diri dengan situasi pasca tempoh PKP.
“Dengan adanya inisiatif kerajaan untuk membantu PKS meningkatkan kapasiti dan kemahiran, saya pasti manfaat yang diperoleh PKS bukan saja dapat membendung impak negatif COVID-19 terhadap perniagaan, malah memberikan manfaat jangka panjang kepada PKS itu sendiri,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (PRIHATIN TAMBAHAN) yang direka khas kepada PKS itu amat dialu-alukan kerana lebih separuh atau 66.2 peratus pekerja di negara ini adalah di dalam sektor PKS.
Katanya, jika PKS tidak dibantu oleh kerajaan untuk kekal mampan ketika waktu krisis ini, dikhuatiri ramai akan kehilangan pekerjaan kerana syarikat tidak dapat mengekalkan perniagaan.
“Bantuan program subsidi upah sangat digalakkan kerana polisi ini bukanlah asing di mata dunia. Ia adalah satu inisiatif yang patut diberi pujian bagi meringankan beban PKS yang terkesan ketika krisis ini.
“Syarat dan terma yang ditetapkan juga munasabah di mana bantuan lebih diberikan kepada PKS yang betul-betul memerlukannya,” katanya.
Bantuan dari segi geran khas juga, katanya wajar diberikan pujian kerana sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban syarikat mikro.
“Saya amat sarankan kepada penerima geran ini untuk menggunakannya bagi mengembangkan perniagaan seperti membuat pelaburan dalam mencari strategi baharu untuk berniaga, misalnya melalui perniagaan dalam talian,” katanya.
Pertama kali diterbitkan dalam Berita Harian, 6 April 2020